NILAI THIQAH DALAM KEPIMPINAN ISLAM

Ø Apakah yang dimaksudkan dengan Thiqah?

Imam Hasan Al-Banna berkata: “ Apa yang aku maksudkan dengan thiqah ialah pengikut yang berlapang dada terhadap qiadah (pemimpin) mereka, pada kemampuan dan keikhlasan mereka, dengan sepenuh rasa ketenangan sehingga menghasilkan rasa kasih, hormat, penghargaan dan ketaatan.

Pemimpin adalah sebahagian dari da’wah dan tiada da’wah tanpa pemimpin. Kepercayaan antara pemimpin pengikut menentukan kekuatan sistem jamaah, kerapian strategi, kejayaan untuk mencapai matlamat, dan kemampuan mengatasi halangan dan kesusahan yang terbentang di hadapannya.”




Ø Kepimpinan Dalam Islam?


Setiap insan dilahirkan di atas muka bumi ini sebagai pemimpin untuk mentadbir dunia dan seluruh isi kandungannya. Allah berfirman: “Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah (pentadbir atau pemimpin) di muka bumi...” [Al-Baqarah: 30] Justeru itu, Islam sangat menitikberatkan tentang kepimpinan, dan untuk itu umat Islam haruslah meneliti noktah-noktah berikut:

Pertama: Bahawa agama Islam adalah agama jama’ah, agama kumpulan, menegas hakikat inilah Sayyidina Umar Al-Khattab berkata: “ Tidak tertegak Islam melainkan dengan usaha berjama’ah. Tidak berma’na jama’ah melainkan dengan pemimpin. Dan tidak berma’na kewujudan pemimpin kecuali diberi keta’atan oleh anggota kepadanya.”
Kedua: Bahawa seseorang muslim mesti memimpin, sekurang-kurangnya memimpin rumah tangganya. Sabda Rasulullah s.a.w: “ Setiap kamu adalah gembala (pemimpin) dan kamu bertanggungjawab terhdap rakyat yang dipimpin…” [Riwayat Al-Bukhari: 2232]
Ketiga: Bahawa orang Islam mestilah terikat dengan kepimpinan walau dalam urusan yang kecil sekalipun, seperti dalam musafir yang tidak kurang dari 3 orang. Rasulullah s.a.w bersabda:

إِذَا خَرَجَ ثَلاثَةٌ فِي سَفَرٍ فَلْيُؤَمِّرُوا أَحَدَهُمْ

“Apabila keluar bermusafir tiga orang dikalangan kamu, maka lantiklah salah seorang daripadanya menjadi ketua.”
Keempat: Bahawa kepimpinan adalah amanah. Rasulullah s.a.w. berrkata kepada Abu Dzar r.a:

يَا أَبَا ذَرٍّ إِنَّكَ ضَعِيفٌ وَإِنَّهَا أَمَانَةُ وَإِنَّهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ خِزْيٌ وَنَدَامَةٌ إِلَّا مَنْ أَخَذَهَا بِحَقِّهَا وَأَدَّى الَّذِي عَلَيْهِ فِيهَا

“ Wahai Abu Dzar, sesungguhnya engkau seseorang yang lemah sedangkan jawatan (pemimpin) adalah satu amanah yang pada hari qiamat nanti merupakan satu kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi orang-orang yang dapat melaksanakan tugasnya dengan benar dan menunaikan kewajiban dengan sebaik-baiknya.” [Riwayat Muslim: 3404]
Kelima: Bahawa Islam telah meletakkan kaedah-kaedah yang tertentu, syarat-syarat tertentu supaya kepimpinan Islam dapat diisi dengan sebaik-baik yang boleh. Ulama’ membuat penelitian yang rapi yang diletakkan keatas yang diletakkan yang dicalon menjadi pemimpin dan yang mencalonkan kepimpinan. Firman Allah S.W.T: “…sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja (pada kita) ialah orang yang kuat lagi dapat dipercayai.” [Al-Qasas: 26]


Ø Mengapa pentingnya Thiqah dalam Kepimpinan Islam?

- Dapat membuahkan keyakinan dan kepercayaan terhadap pemimpin yang dilantik (kemampuan dan keikhlasan mereka).
- Dari kepercayaan tersebut dapat menghasilkan ketaatan dan komitmen yang tinggi dikalangan pengikut dengan penuh rasa kasih sayang dan tanggungjawab.
- Dapat melaksanakan strategi yang dirancang dengan effektif dan mencapai matlamat yang digariskan.Tidak berlaku pecah belah dalam gerakan.

Ø Bagaimana hendak menyemai dan menyuburi Thiqah?

Kita telah maklum akan kepentingan thiqah dalam kepimpinan Islam, tinggal lagi bagaimana kita nak menyemai dan menyuburkan thiqah tersebut? Antara perkara yang sesuai dilakukan ialah dengan mengelak dan menjauhkan diri dari perasaan buruk sangka (سوء الظن) terhadap pemimpin yang dilantik. Jangan biarkan perasaan syak wasangka ini terdetik di dalam pemikiran dan jiwa kita walaupun untuk seketika. Allah S.W.T. berfirman: “Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan purba-sangka (kecurigaan), karena sebagian dari purba-sangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah menggunjingkan satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.” [Al-Hujuraat: 12] Dan Rasulullah juga pernah bersabda: “ Jauhilah kamu akan pra-sangka (buruk), sesungguhnya pra-sangka itu sedusta-dusta hadis (percakapan atau kenyataan).” [Riwayat Muslim: 2563] Apa yang perlu kita lakukan ialah berbaik sangka (حسن الطن), berlapang dada, yakin terhadap keputusan syura dan memberi ketaatan kepada mereka yang dilantik untuk memimpin kita.


Ø Penyerahan terhadap Allah S.W.T.

Setelah kita berusaha untuk mengelak diri dari melakukan perkara-perkara yang boleh menghilangkan kepercayaan kita terhadap pemimpin, maka kita hendaklah menyerahkan urusan seterusnya kepada Allah S.W.T. Tuhan semesta alam yang menjadikan segala-galanya dengan kehendak-Nya. Hanya Dia yang mampu melembut dan menyatukan hati-hati hamba-Nya (dan menimbulkan keyakinan dan kepercayaan sesama insan). Firman Allah: “Dan Yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, niscaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana.” [Al-Anfal: 63]



0 comments:

Post a Comment