GAGASAN PERJUANGAN WANITA

Zaman wanita terperuk di dapur sudah berlalu, kini tangan yang menghayun buaian itu telah banyak menggegarkan dunia. Malah di sebalik kejayaan seseorang itu, baik seorang anak atau pun suami, berdiri di belakangnya seorang wanita yang menjadi pendorong kejayaannya itu.

Suara-suara wanita memberikan pendapat dan pandangan di peringkat nasional mahu pun antarabangsa sudah mula didengar dan kemampuan wanita menerajui pelbagai profesion telah diperakui dan setanding dengan kaum lelaki. Ini membuktikan bahawa wanita juga mempunyai kewibawaan dalam memberikan sumbangan terhadap pembangunan sesebuah negara.

Jadi apakah lagi yang akan diperjuangkan oleh wanita? Dalam hal ini ada beberapa gagasan perjuangan yang sesuai bagi wanita Islam, antaranya:


Mengekalkan Asas Kedudukan dan Peranan Wanita


Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam surah an-Nisaa, ayat 32:

“ Janganlah kamu berangan-angan (ingin mendapatkan) kurniaan yang dilebihkan Allah kepada sebahagian kamu daripada sebahagian yang lain (sama ada berbentuk keduniaan atau keagamaan). (Kerana telah ditetapkan) bagi orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan bagi wanita pula ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan (maka berusahalah). Mohonlah kepada Allah akan limpah kurniaan-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

Memantapkan Pendidikan dan Latihan

Islam telah membuka peluang yang luas kepada lelaki dan wanita mencapai kejayaan dalam bidang ilmu mengikut keupayaan masing-masing. Ini disebutkan di dalam firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam surah al-Ahzaab, ayat 34:

“ Dan ingatlah (serta amalkan) apa yang dibaca di rumah kamu iaitu ayat-ayat Allah (Al-Qur’an) dan hikmah (hadist-hadist Rasulullah). Sesungguhnya Allah adalah Maha Halus Tadbir-Nya lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.”


Menceburi Kerjaya Profesional


Jika dahulu kaum wanita kurang menonjol tetapi sekarang tenaga mahir wanita dari pelbagai bidang dan kerjaya telah bertambah dari semasa ke semasa. Contohnya, jika dahulu jawatan doktor hanya dimonopoli oleh kaum lelaki malah diimpot dari luar negara tetapi sekarang ramai di kalangan doktor terdiri daripada doktor wanita tempatan.

Begitu juga tenaga kerja dalam agensi kerajaan dan swasta, kaum wanita telah diberikan kepercayaan menyandang beberapa jawatan penting seperti Pengarah, Pengarah Urusan sehinggalah jawatan Setiausaha Tetap. Kedudukan ini perlu dipertahankan dengan mengambilkira beberapa faktor yang perlu dijaga dan dipelihara, iaitu ;

a) Sebagai seorang wanita yang belum berkahwin.
b) Sebagai seorang isteri dan ibu.
c) Aurat dan penampilan.
d) Batas-batas dalam pergaulan.
e) Penempatan kerja.



Kebebasan Memberi Pandangan Dan Pendapat.


Suara-suara wanita meski pun tidak selantang suara lelaki sepatutnya diberikan kebebasan memberi pandangan dan pendapat sama seperti kaum lelaki. Ini demikian kerana dalam sejarah Islam pandangan wanita tidak diabaikan sekalipun dalam keadaan yang penting.

Bahkan Al-Quran sendiri ada menyebutkan kisah isteri Fir’aun yang telah memberi pendapat kepadanya supaya tidak membunuh anak yang dijumpainya sebagaimana yang tersebut dalam surah al-Qasas, ayat 9 ;

“Dan berkatalah isteri Fir’aun, “(Semoga dia menjadi) cahaya mata bagiku dan bagimu, janganlah kamu membunuhnya, mudah-mudahan dia berguna kepada kita, atau kita jadikannya sebagai anak...”

Pendapat ini telah terbukti dapat mengubah pendirian tegas Fir’aun sehingga akhirnya dia telah bersetuju untuk tidak membunuh Nabi Musa dan menjadikannya sebagai anak angkat.

Secara keseluruhannya, boleh ana simpulkan bahawa apapun juga jenis perjuangan wanita Islam pada hari ini, mereka hendaklah melihat dan memikirkan implikasi daripada perjuangan tersebut dari pelbagai sudut.

Perjuangan wanita perlu didasari oleh agama, kerana agamalah yang meletakkan mereka di tempat tinggi lagi mulia di sisi keluarga, masyarakat dan negara. Agama mesti berada di tempat yang pertama dalam senarai keutamaan. Selain itu, keredhaan dan pengorbanan suami sebagai pemimpin keluarga perlu diambil kira.

Perlu juga diingat bahawa wanita Islam dituntut menjaga kehormatan diri dan menunaikan tanggungjawab sebagai anak, isteri dan ibu yang baik. Oleh itu, apa pun tindakan yang dilakukan hendaklah tidak lari daripada tuntutan tersebut.

Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam surah al-Ahzaab, ayat 59 ;

“ Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta wanita-wanita yang beriman, supaya melabuhkan jilbab mereka bagi menutup seluruh tubuh mereka (semasa mereka keluar). Cara yang demikian lebih mudah untuk mereka dikenali (sebagai wanita yang baik), maka dengan itu mereka tidak diganggu. (Ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim ;

وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ بَعْلِهَا وَوَلَدِهِ وَهِيَ مَسْئُولَةٌ عَنْهُمْ


Maksudnya ; “Isteri adalah pengawas yang bertanggungjawab atas kesejahteraan rumahtangga suaminya dan anak-anak ..”

Wanita juga mestilah mengukuhkan pendirian sebagai orang Islam dan tidak mudah terikut-ikut dengan pengaruh yang menjatuhkan maruah mereka.

Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmizi ;

لا تَكُونُوا إِمَّعَةً تَقُولُونَ إِنْ أَحْسَنَ النَّاسُ أَحْسَنَّا وَإِنْ ظَلَمُوا ظَلَمْنَا وَلَكِنْ وَطِّنُوا أَنْفُسَكُمْ إِنْ أَحْسَنَ النَّاسُ أَنْ تُحْسِنُوا وَإِنْ أَسَاءُوا فَلا تَظْلِمُوا


“Janganlah kamu menjadi orang yang tidak berpendirian (menurut tanpa meneliti) yang berkata : “Jika orang berbuat baik, kami pun berbuat baik dan jika orang berbuat jahat, kami pun berbuat jahat.” Akan tetapi hendaklah kamu teguhkan pendirian kamu ; jika orang berbuat baik, hendaklah kamu berbuat baik dan jika mereka berbuat jahat, maka janganlah kamu lakukan kejahatan itu.”


0 comments:

Post a Comment